Pelakon Halimah Kini Hilang Mata Pencarian, Suami Pula Cuma Bawa Teksi Dan Pernah Bawa Pulang RM15

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Halimah Naim buntu memikirkan nasibnya sekeluarga.

Apatah lagi dengan upah sebagai pelakon ekstra dan pembantu tidak seberapa, Halimah memberitahu tawaran kerja pernah bertandang antara tiga hingga empat bulan sekali.

Dalam tempoh arahan duduk di rumah, pernah sekali, suami yang mencari nafkah sebagai pemandu teksi, sekadar membawa pulang RM15 selepas seharian mencari penumpang.

Usaha wanita berusia 61 tahun yang pernah membintangi lebih 100 drama ini mencari pendapatan tambahan dengan menjual nasi lemak juga terhenti akibat PKP.

Dek rasa perit biarpun akur PKP perlu dipatuhi, Halimah terpaksa ‘mengorek’ duit simpanan yang tidak seberapa bagi mengisi perut enam ahli keluarga lain iaitu suami, tiga anak dan dua cucu.

Perniagaan nasi lemak pula terjejas

Halimah mengaku terputus punca pendapatan sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu. Dia sepatutnya terbabit dengan penggambaran sebuah projek iklan atau komersial selama tiga hari pada bulan ini, namun ditangguhkan berikutan PKP.

Perniagaan nasi lemak yang terjejas menyebabkan Halimah bertambah buntu apabila tempoh kuarantin dilanjutkan sehingga 28 April ini.

” Walaupun bayaran sebagai pelakon tambahan tidak seberapa, sekurang-kurangnya dapat membantu suami menjana pendapatan tambahan buat kami seisi keluarga.

” Tetapi sejak arahan PKP dikeluarkan, saya tidak dapat keluar bekerja, apatah lagi penggambaran tergendala.

Suami pernah bawa pulang RM15 bawa teksi

” Pendapatan suami sebagai pemandu teksi turut terjejas. Dalam tempoh PKP ini, bukan senang hendak mendapat pelanggan.

” Apabila suami cuma mampu membawa pulang RM15, kami tetap bersyukur asalkan dapat membeli makanan untuk hari itu.

” Alhamdulillah, kerajaan menyediakan bantuan PRIHATIN, dapatlah meringankan sedikit bebanan.

” Tetapi dengan RM800, berapa lama mampu bertahan dengan isi rumah tujuh orang. Jadi, wang itu saya gunakan secara berhemah dan mengelak daripada membazir,” katanya.

Dapat bantuan kerajaan dan SENIMAN

Selain bantuan kerajaan, Halimah bersyukur Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan pendakwah, Ustaz Sheikh Muhammad menunjukkan keprihatinan mereka menghulur bantuan barangan asas.

” Bantuan barangan asas tidak selalu diterima. Saya tetap bersyukur kerana ada pihak yang memandang pelakon pembantu seperti saya.

” Bukan apa, sumbangan pelakon pembantu seperti kami sering dipandang remeh.

” Saya dan seorang teman pernah digugurkan daripada menerima bantuan hanya disebabkan kami berstatus pelakon pembantu. Terkilan apabila ada yang melayan kami sedemikian rupa, tetapi kami reda dan menganggap ia bukan rezeki,” katanya.

Lakonan Halimah dalam drama Kamar Kamariah pada 2019.

Melihat dari sudut positif, Halimah berkata, PKP dapat mengurangkan beban membuat persiapan Aidilfitri. Tahun ini dia dapat berjimat kerana tidak perlu membeli baju raya baharu untuk cucu dan persiapan lain.

” Sebenarnya, sebelum PKP, tawaran lakonan kian berkurangan. Saya perlu menampung hidup dengan menjual nasi lemak.

” Sejak kebelakangan ini, sebulan saya hanya menerima satu tawaran berlakon. Bayaran yang diberi kepada pelakon tambahan seperti kami bukanlah lumayan,” katanya.

Tebalkan muka mitak job, tapi jawapan mengecewakan

Halimah berkata, ketika memulakan kerjaya dalam bidang lakonan pada 2005, dia hanya menerima RM50 sehari.

” Selepas hampir 15 tahun, bayaran diterima tidak banyak berubah. Kebanyakan penerbit beritahu mereka tiada bajet.

” Walaupun bayaran diberi tidak berbaloi, saya terpaksa terima kerana sekarang terlalu banyak persaingan daripada pelakon tambahan generasi baharu.

” Jadi, sukar hendak mendapatkan projek lakonan. Ada kalanya tiga empat bulan sekali barulah dapat tawaran,” katanya.

Halimah berkata, ada ketika, dia terpaksa menebalkan muka bertanya kepada pengurus produksi watak yang sesuai biarpun sekadar tempelan sebagai orang kampung.

Namun, jawapan diterima, sering menghampakan.

” Kebanyakan watak diberi kepada pelakon lebih muda yang sanggup menerima bayaran murah.

” Jadi, kami tidak boleh terlalu memilih biarpun ada kala bayaran diterima tidak berbaloi. Biarlah, asalkan ada makanan untuk diletakkan atas meja buat keluarga,” katanya.

Sumber:laman hiburan

Facebook Comments

Be the first to comment on "Pelakon Halimah Kini Hilang Mata Pencarian, Suami Pula Cuma Bawa Teksi Dan Pernah Bawa Pulang RM15"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*